Emosi dan Moral



 Emosi pengaruhi pertimbangan moral manusia

Sains


Jika lima orang berdiri di atas landasan dan kereta api sedang bergerak laju menuju ke arah mereka, adalah lebih baik mengalihkan laluan ke landasan lain biarpun ia akan hanya merempuh seorang sahaja daripada lima.

Namun senario menyelamatkan nyawa empat orang, merupakan persoalan yang mengelirukan bagi ahli falsafah yang mencari jawapan, mengapa kebanyakan orang mengatakan pilihan pertama itu adalah kerana pertimbangan moral dan kedua bukan moral. 

Kini para penyelidik di Universiti Princeton sudah mengimbas otak beberapa sukarelawan dan mereka menemui masalah dilema etika yang sama, dan mendapati punca kepada penghakiman moral yang sukar ditentukan ialah emosi atau perasaan, dan bukan berdasarkan logik atau sebab-sebab analitikal.

Bagaimanapun penyelidikan itu tidak pula menyatakan, apakah keputusan yang betul ataupun yang salah. Namun untuk pertama kalinya, imej bahagian otak yang mana diaktifkan - yang mereka jelaskan melalui imbasan - menunjukkan bagaimana manusia menilai keputusan moral seseorang.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal Science edisi Jumaat lalu, adalah memecahkan tradisi, kata Jonathan Haidt, ahli psikologi sosial dan budaya di Universiti Virginia.
``Kami tidak memahami sebenarnya bagaimana sebab moral dan penghakiman kita dilakukan,'' kata Haidt. Tetapi kata Haidt, kajian terbaru ini menyokong teorinya sebelum ini bahawa ``kita menghadapi kehidupan ini dengan sukar sebagaimana sukarnya kita menghakimi moral berdasarkan alasan yang diberikan.'' 

Kajian itu menggambarkan ``dua bahagian otak kita (emosi dan analitikal) menunjukkan tindak balas dan memain peranan dalam setiap keadaan tegang yang dihadapi,'' kata penulis bersama rencana tersebut, Dr. Jonathan Cohen, Pengarah Pusat Princeton bagi Kajian Otak, Fikiran dan Tingkah Laku.



Persefahaman yang lebih baik ialah bagaimana kita membuat pengadilan moral demi kepentingan masyarakat, kata Joshua Greene, pelajar ijazah falsafah di Princeton yang turut mengikuti kajian itu. ``Kebanyakan isu utama sosial dan politik yang membahagi-bahagikan manusia sebenarnya ialah isu moral. Alasan moral berada pada peringkat paling tinggi dalam struktur otak kita. Jika kita ingin terus bersama di antara satu sama lain dan... kita dapati dunia mempunyai pelbagai warna moral, kita perlu memahami di mana asalnya gambaran dunia ini,'' kata Greene.

Dilema moral peribadi seperti kes landasan kereta api; sama ada semasa perang, ia hampir-hampir kepada tindakan mendiamkan bayi yang menangis dengan apa cara sekalipun, asalkan penceroboh tidak menemui dan membunuh semua kumpulan orang ramai; juga seperti kes mencampakkan orang daripada bot penyelamat yang karam.

Dilema moral antara peribadi pula seperti adakah anda mempedulikan rayuan bantuan kewangan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada kebuluran, walaupun anda tidak menyedari kisah sebenarnya. Dan adakah anda akan menyimpan wang yang anda temui daripada dompet yang tercicir?



Soalan bukan moral pula adalah seperti bagaimana memandu arah bagi menyempurnakan perjalanan. 

Manusia menggunakan beberapa bahagian otak untuk berunding dengan emosi dalam menentukan soalan moral peribadi yang jauh lebih sukar daripada untuk mereka menentukan keputusan soalan antara peribadi dan bukan moral.

Manusia juga menggunakan bahagian ingatan yang bekerja - untuk logik tenang - yang kurang aktif sebagaimana sukarelawan membahaskan soalan moral peribadi.
Para penyelidik menemui jawapan, berapa lama masa diambil oleh para sukarelawan untuk membuat keputusan bagi setiap soalan. Sedikit sahaja di kalangan mereka yang memilih keputusan dengan membiarkan kereta api meneruskan perjalanannya daripada berhenti. Ini berbeza dengan masa yang lama diambil untuk membuat keputusan kes mencampakkan orang dari bot penyelamat. 

Penyelidikan ini mencadangkan bahawa emosi sebenar melakonkan tindakan dengan mengatakan,`Ya, menerima aspek moral, dengan mengorbankan kumpulan yang sedikit bagi kebaikan kumpulan yang lebih banyak, kata Cohen.



Penyelidikan ini adalah sebahagian perkembangan kajian saraf (neurologi) dalam tindak balas antara emosi dan kognisi. Setakat ini, para saintis menemui bahawa kimia otak yang memikirkan emosi juga mempunyai peranan kognisi, yang penting untuk pembelajaran. 

Penemuan ini turut memberi kesan kepada bidang lain, kata Cohen. Beliau merujuk pada tingkah laku ahli ekonomi yang mengkaji bagaimana emosi bertindak balas dalam membuat keputusan perbelanjaan bagi membangunkan model terbaik dalam bidang ekonomi.
Kata Cohen, penemuan itu juga boleh memberi sinar baru kepada masyarakat, bagaimana reaksi digambarkan terhadap serangan pengganas ke atas Amerika pada Selasa minggu lalu.

``Marah adalah reaksi normal, tetapi bahagian kognitif otak pula boleh berlainan - mengimbanginya - itu emosi,'' kata Cohen. - AP

Comments